PDA

View Full Version : Awang Sulung: Dr Ling's act is nauseating



edteam
12-01-2003, 09:54 AM
<font size="+">"Is Dr Ling so indispensible?" asks Awang Sulung.
He says Dr Ling's action is nauseating.</font>


UTUSAN ONLINE
Ahad, 12, Januari, 2003

<font size="+1">HEBAT SANGATKAH DR. LING?</font>

AWANG tidak dapat menghormati pemimpin yang mempermain-mainkan soal letak jawatan. Andainya pemimpin itu sudah membuat keputusan hendak berbuat demikian, dia hendaklah berbuat demikian.

Tindak-tanduk Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik dalam hal ini sungguh memualkan. Bagaimanapun kebolehannya untuk kelihatan tenang dan mengekalkan sifat lemah lembutnya, berjaya menyembunyikan Dr. Ling yang sebenar.

Dr. Ling hendaklah sedar bahawa Kementerian Pengangkutan tidak akan runtuh tanpanya. Begitu juga MCA sebagai sebuah parti politik. Jika beliau benar-benar hendak berhenti, tiada apa yang boleh menyekatnya.

Umum lebih cenderung mempercayai bahawa Dr. Ling sebenarnya tidak mahu berhenti. Mereka lebih percaya beliau ada agenda lain dan sekali lagi sedang bermain politik.

Tapi dalam politik adegan yang sama tidak boleh dilakonkan lebih daripada sekali. Dr. Ling boleh terus menjadi menteri kabinet dan penyokong-penyokong kuatnya seperti Dr. Ting Chew Peh boleh bercakap berdegar-degar tentang kehebatannya, tapi pandangan orang terhadapnya tidak akan sama lagi.

Umum juga tahu bahawa di bawah pelan damai MCA, Dr. Ling dan timbalannya, Lim Ah Lek berjanji mengundur diri sebagai jalan keluar kepada kemelut MCA. Tapi ini tidak berlaku. Sebab itu MCA terus bergolak dan para pemimpinnya terus bercakaran.

Dr. Ling tidak sepatutnya menyusahkan Perdana Menteri dengan menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan. Awang harap beliau tidak naik tocang dan menjadi besar kepala kerana sentiasa menikmati sokongan Perdana Menteri. Tanpa sokongan ini, Dr. Ling tidak akan ke mana.

Tentulah Perdana Menteri berada dalam keadaan serba salah jika Presiden dan Timbalan Presiden parti yang merupakan komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional tidak menganggotai kabinet. Ia boleh memberi gambaran bahawa terdapat masalah besar di antara parti itu dengan UMNO dan pucuk pimpinan kerajaan.

Awang juga tidak fikir UMNO keberatan melepaskan Dr. Ling, malah percaya, golongan muda dalam MCA sendiri menunggu hembusan angin perubahan.

Atau, apakah Dr. Ling, dalam persediaan menghadapi cabaran pada tahun 2005, ingin bertukar menjadi jaguh orang Cina dengan berada di luar kerajaan supaya beliau akan dapat memperjuangkan hak mereka dengan lebih lantang?

Jika Dr. Ling sudah penat bekerja dan merasakan khidmatnya kepada negara sudah cukup dan beliau ingin beristirahat, ada baiknya beliau melepaskan semua jawatan dan bersara terus.

Mungkin elok Awang mengingatkan Dr. Ling bahawa dunia ini fana - sementara sahaja. Wujudnya MCA di dunia ini pun sementara, begitu juga Dr. Ling dan Awang. Maka janganlah berkelakuan seolah-olah dunia akan terbalik tanpa kita.


SOURCE:
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2003&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm